MOHD Hasifuddin diiring polis sebaik selesai perbicaraan di Mahkamah Majistret Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
MOHD Hasifuddin diiring polis sebaik selesai perbicaraan di Mahkamah Majistret Sandakan. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Seorang lelaki dihukum penjara dua tahun sembilan bulan penjara oleh dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas empat kesalahan perbuatan khianat dan satu kes ugutan jenayah.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, Mohd Hasifuddin Yamin Jamain, 34, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Azeem Mohd Ridzo.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna merah pada pintu rumah seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun sehingga menyebabkan kerugian RM96.50

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 November tahun lalu bertempat di Taman Murni, Sandakan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan cara menyimbah cat merah pada pintu hadapan rumah mangsa wanita berusia 42 tahun dan menyebabkan kerugian RM2,400 pada 16 Mei lalu di Taman Bahagia di sini.

Untuk pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan kaedah sama sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM52.50 terhadap mangsa lelaki berusia 20 tahun pada 21 Februari lalu di Tam

Ketiga-tiga kesalahan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Mohammad Azeem kemudiannya menjatuhkan hukuman masing-masing 12 bulan penjara terhadap ketiga-tiga kesalahan berkenaan dan mengarahkan hukuman dijalankan serentak.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima pula, pendakwaan dijalankan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.

Mohd Hasifuddin Yamin turut membuat pengakuan bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama.

Mengikut kertas pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan ugutan untuk menakutkan secara jenayah dengan meninggalkan nota amaran kepada mangsa lelaki berusia 68 tahun pada 19 Februari lalu di Taman Sejati di sini.

Bagi pertuduhan kelima, Mohd Hasifuddin didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah di rumah mangsa wanita berusia 32 tahun sehingga menyebabkan kerugian RM50 pada 22 Mac lalu di Taman Nuri di sini.

Majistret Wan Farrah Farriza kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan keempat dan penjara sembilan bulan bagi pertuduhan kelima.

Beliau turut mengarahkan agar hukuman penjara dijalankan secara berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 4:25 PM