Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Menentukan kelayakan seseorang individu untuk bertanding pada pilihan raya bukan tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun jika calon itu sedang disiasat berhubung kes rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu di bawah budi bicara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada seseorang itu layak bertanding atau pun tidak.

Menurutnya, tugas SPRM hanya menyiasat kes berkaitan rasuah atau salah guna kuasa individu terbabit.

"Keputusan menentukan sama ada seseorang itu layak bertanding atau sebaliknya meskipun berhadapan dakwaan atau terbabit dalam isu rasuah adalah keputusan SPRM.

"Maka terpulang kepada mereka (SPR) untuk menentukannya dan semuanya diputuskan SPR, bukan kami di SPRM.

"Perkara seumpama ini adalah di bawah tadbir urus SPR dan kami (SPRM) hanya menyiasat isu-isu membabitkan rasuah atau kesalahan di bawah Akta SPRM dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya selepas Program Menembak SPRM Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-56, di Maktab Penjara Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan bagaimana individu terbabit dalam kes rasuah boleh bertanding pada pilihan raya.

Kenyataan itu merujuk kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid sebagai perasuah.

Mengulas lanjut Azam berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan SPR pada setiap pilihan raya bagi memastikan proses demokrasi itu berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 1:52 PM