FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Peningkatan harga tiket penerbangan walaupun ketika di luar musim perayaan dan cuti persekolahan dikhuatiri menjejaskan industri pelancongan tempatan.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dennis Ngau berkata, peningkatan itu pastinya membebankan pelancong domestik yang ingin melancong antara dua wilayah, Semenanjung dan Sarawak.

Ini kerana tiada cara lain untuk pelancong domestik dari Semenanjung untuk datang ke Sarawak dan sebaliknya, kecuali dengan menaiki kapal terbang.

"Kenaikan yang berlaku bukan sahaja pada harga tiket penerbangan, tetapi juga pengangkutan awam lain seperti teksi dan bas pasti akan memberi kesan kepada industri pelancongan.

"Kami memang ada menerima rungutan orang ramai termasuk kalangan ejen pelancongan yang bimbang dengan kadar harga sekarang akan menjejaskan sektor pelancongan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kadar tiket penerbangan antara Kuala Lumpur-Kuching dan sebaliknya yang semakin naik ketika ini.

Bagaimanapun, Dennis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan berkata, beliau turut melihat perkembangan itu dari sudut positif, kerana kenaikan mungkin tidak boleh dielakkan oleh syarikat penerbangan berikutan peningkatan kos operasi.

"Kami di STB tidak boleh berbuat apa-apa kerana harga tiket itu ditentukan oleh syarikat penerbangan, itu bisnes mereka.

"Apa yang STB lakukan ialah terus memperhebatkan promosi pelancongan Sarawak bagi memberi jaminan kepada pelancong termasuk pengunjung dari Semenanjung bahawa kunjungan mereka ke Sarawak berbaloi dengan perbelanjaan yang mereka keluarkan.

"Harapan STB ialah pelancong domestik masih terus mahu datang dan kami memberi jaminan apabila datang Sarawak banyak yang akan dilihat di sini tiada di tempat lain di dunia dan banyak juga kenangan manis akan anda bawa balik," katanya.

Dennis berkata, walau apa pun keadaan, STB terus memperhebatkan promosi pelancongan Sarawak di dalam dan luar negara.

"Hasilnya setakat ini cukup memberangsangkan khususnya kehadiran pelancong asing dari China, Singapura, Jepun, Australia serta negara Eropah.

"Ketika ini kehadiran pelawat sudah melepasi sasaran pada 2023 iaitu lebih tiga juta orang dan dengan berbaki tiga bulan lagi, kami yakin empat juta pelancong akan datang ke Sarawak," katanya.

Menurutnya lagi, nilai mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) yang tinggi berbanding Ringgit Malaysia (RM) juga antara faktor menarik pelancong asing untuk melihat keunikan yang ditawarkan di Sarawak.

"Sebab itu kami melihat harga tiket bukan isu bagi pelancong asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 3:14 PM