LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: "Saya sempat melihat cahaya lampu kepala yang dipakai arwah sebelum dia tenggelam dibawa arus deras," kata Mohd Faizol Ya, 35, rakan mangsa lemas Hussin Jusoh, 46, di Sungai Besut berhampiran Empangan Pengkalan Nangka (Tok Gong) dekat Kuala Besut, di sini.

Faizol berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia tidak sempat menyelamatkan mangsa susulan arus sungai tiba-tiba menjadi deras ketika mereka berada di dalam sungai.

Katanya, sebelum kejadian dia bersama beberapa rakan sepakat memancing udang galah bagi mengisi masa lapang.

"Jika diikutkan ini bukan kali pertama kami memancing udang galah di situ tetapi sejak dari usia muda kerana membesar bersama serta tinggal di kawasan berhampiran.

"Pada malam kejadian kami berempat turun ke sungai ada 12.40 tengah malam dengan menaiki dua bot, cuaca ketika itu selepas hujan dan permukaan sungai tenang,

"Saya bersama arwah menaiki satu bot turun dahulu namun ketika ingin jatuhkan batu sauh ke dalam sungai secara tiba-tiba bot hanyut serta terlanggar kayu sebelum terbalik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Faizol berkata, dia bersama arwah terpisah dibawa arus sungai deras manakala rakan yang menaiki bot berasingan sempat menyelamatkan diri.

"Saya dibawa arus ke tepi tebing namun arwah semakin ke tengah, saya sempat menjerit memanggil namanya dan dia sempat menyahut panggilan itu.

"Dalam keadaan kelam-kabut saya segera mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan mangsa namun keadaan cuaca gelap menyukarkan operasi mencari," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat mangsa ditemukan pada jam 7.45 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira 250 meter daripada tempat terakhir mangsa dilihat tenggelam.

Katanya, keluarga mangsa membuat pengecaman dan mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan 9 pagi dan polis membuka kertas siasatan SDR (kematian mengejut) dan sedang menunggu laporan bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 8:33 PM