OPERASI mencari dan menyelamat seorang pemancing dikhuatiri lemas ketika memancing udang di Sungai Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
OPERASI mencari dan menyelamat seorang pemancing dikhuatiri lemas ketika memancing udang di Sungai Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: 'Adik pandai berenang tapi mungkin arus deras menyukarkannya selamatkan diri berenang ke tebing," kata Naimah Jusoh, 55.

Wanita itu adalah kakak kepada pemancing yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama rakan terbalik di Sungai Besut berhampiran pintu kunci air Tok Gong, di sini.

Naimah berkata, adiknya, Hussin Jusoh, 46, biasa memancing udang di sungai berkenaan bersama rakan-rakannya jika ada waktu lapang.

"Kali terakhir saya jumpanya selepas Zuhur semalam ketika saya pulang berehat sebentar di rumah sebelum kembali ke tempat kerja memproses keropok.

"Dia sempat memberitahu mahu memancing udang bersama rakan-rakannya sebelum keluar rumah selepas Asar," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia mendapat maklumat berhubung kejadian kira-kira 1 pagi.

"Kami berharap dia segera ditemui secepat mungkin kerana bimbang jika hanyut ke laut operasi mencari akan bertambah sukar," katanya.

Katanya, adiknya yang juga masih bujang bekerja bersama rakannya di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut.

Sementara, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, operasi mencari dan menyelamat yang bermula jam 8 pagi ditangguhkan 7 malam tadi.

"Operasi akan disambung semula 8 pagi esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 11:40 PM