Mohd Suhaimi (kiri) dan Mohd Aman (dua dari kiri) dan peneroka mengadakan sidang media mengenai masalah mereka bersama Felda di Felda Lubuk Merbau hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Mohd Suhaimi (kiri) dan Mohd Aman (dua dari kiri) dan peneroka mengadakan sidang media mengenai masalah mereka bersama Felda di Felda Lubuk Merbau hari ini. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Noorazura Abdul Rahman


Kuala Nerang: Lebih 200 peneroka FELDA Lubuk Merbau di sini, kecewa selepas mendakwa ditawarkan harga terlalu rendah bagi pembelian kayu getah oleh pihak pengurusan untuk proses penanaman semula ladang mereka.

Setiausaha Projek Pembangunan Ladang Lestari Peringkat 285 FELDA Lubuk Merbau, Mohd Aman Ghazali, berkata, harga ditawarkan pihak pengurusan tidak masuk akal berbanding harga pasaran ditawarkan kontraktor kayu lain.

Jelasnya, pihak pengurusan menawarkan untuk membeli kayu pokok getah milik mereka pada harga RM4,500 sehektar sedangkan nilai sebenar kayu berkenaan dianggarkan kira-kira RM11,000 sehektar.

"Nilai RM11,000 setiap hektar itu bukan rekaan kerana kami sendiri sudah membawa beberapa pihak bagi membuat penilaian. Jika kami dapat harga itu, maka bayaran yang boleh diperolehi setiap peneroka adalah lebih RM30,000 kerana masing-masing memiliki 3.2 hektar ladang.

"Sebaliknya jika kami bersetuju dengan harga ditawarkan pengurusan ladang, bayaran yang akan kami terima hanya kira-kira RM14,000 sahaja. Jumlah itu kemudian difahamkan akan ditolak pula hutang lapuk peneroka," katanya semalam.

Mohd Aman berkata, pihaknya berharap mereka diberi pilihan untuk menguruskan sendiri penebangan dan menjual kayu getah berkenaan kepada mana-mana pihak yang mampu menawarkan harga setimpal.

"Ketika kami melaksanakan proses penebangan pokok getah pertama kali pada tahun 2000, kami dibenarkan menjual kepada pihak luar. Tetapi kini, kami seolah-olah tidak mempunyai pilihan dan dikatakan mesti menjual kayu kepada pengurusan.

"Kami tak ada masalah untuk menjual, tetapi biar harganya berpatutan dan sesuai dengan nilai semasa. Lagi pun ketika ini rata-rata peneroka masih memiliki hutang mencecah belasan ribu ringgit. Jka pokok ditebang dapat dijual pada nilai sebenar, sudah tentu kalangan peneroka mampu bebas dari cengkaman hutang," katanya.

Beliau berkata, tawaran harga yang dibuat pengurusan dilihat amat tidak berpatutan ketika kos penanaman semula yang dikenakan sangat tinggi iaitu antara RM85,000 hingga RM90,000 sehektar.

"Sedangkan kalau kami melantik kontraktor luar untuk buat penanaman semula, kosnya dianggar kira-kira RM30,000 sahaja berbanding yang dibuat pihak pengurusan ladang.

"Disebabkan itu, kami amat berharap isu harga kayu ini diberi perhatian pihak berkaitan, beri kami kebebasan untuk membuat keputusan yang mendatangkan kebaikan," katanya.

Difahamkan, ketika ini telah ada sebahagian daripada lebih 400 peneroka kawasan itu menyatakan persetujuan untuk menerima harga ditawarkan pengurusan, manakala sebahagian lagi masih berusaha memperjuangkan harga lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 2:35 PM