GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-90 hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendoakan semoga ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan dicurahkan seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

"Seri Paduka menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 kepada seluruh warga angkatan tentera, para veteran angkatan tentera dan mereka yang pernah berkhidmat bersama ATM.

"Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga perwira ATM yang telah terkorban semasa bertugas dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara," menurut Istana Negara menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut catatan itu, Al-Sultan Abdullah turut mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

"Syabas dan tahniah," menurut hantaran itu.

Hari ATM disambut setiap 16 Sept dengan tema sambutan tahun ini 'Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama.'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 2:47 PM