FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di barisan hadapan.

Istana Negara menerusi Facebook hari ini memaklumkan Seri Paduka berdua menghargai pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam membantu memerangi penularan wabak Covid-19.

Justeru, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga ATM dan PDRM.

"Selaku Ketua Utama Negara dan pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh pahlawan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan tanah air tercinta.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga pahlawan dan perwira yang terkorban semasa bertugas dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

"Sesungguhnya jerit perih mereka, pejuang tanah air ketika dahulu dan masa kini adalah demi negara yang berdaulat," kata kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda berdua mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 12:07 PM