Nazdy Harun

Kuala Berang: "Suara-suara sinis menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kerja sebagai tukang cuci dan saya akan menjalankan amanah dengan sebaiknya untuk mencari rezeki."

Begitu kata Muhammad Zuhdi Abu Bakar, 26, yang kini menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Masters) dalam bidang Alam Sekitar dan Pelancongan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Muhammad Zuhdi dari Kampung Langgar, di sini, berkata dia mula menceburi bidang 'cleaner' ketika sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Entropologi dan Dakwah di universiti sama pada 2019.

Menurutnya, cuti semester ketika itu dimanfaatkan dengan mengambil upah sebagai tukang cuci di rumah pensyarah, guru dan penduduk di beberapa daerah di negeri ini.

"Menggunakan peralatan asas mencuci, saya bergerak dari rumah ke rumah menawarkan perkhidmatan cucian dan ketika itu saya lakukan secara sendirian.

"Seorang rakan kemudian menawarkan diri untuk turut sama dan seingat saya tugasan pertama kami memperoleh upah RM60 selepas membersihkan tiga tandas di sebuah rumah," katanya.

Penulis buku ilmiah berjudul Dinamika Alam Sekitar terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, tahun ini adalah tahun keempat dia melakukan kerja-kerja mencuci.

"Alhamdulillah, rezeki itu luas dan sekarang dalam sebulan lebih 20 tempahan untuk kerja-kerja mencuci diterima sama ada pelanggan tetap atau yang baru.

"Kini saya bukan saja mencuci rumah persendirian dan inap desa, malah saya turut menyediakan perkhidmatan mencuci kilang," katanya yang mempunyai seorang pekerja tetap dan empat pekerja sambilan.

Katanya, dia merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) kerana bercita-cita menjadi pensyarah.

"Saya mengakui kerja sebagai tukang cuci dipandang rendah, namun sebenarnya bekerja dalam bidang ini memberi ruang kepada golongan yang memerlukan untuk turut sama berkongsi rezeki.

"Tukang cuci juga satu profesion yang sekiranya diurus dengan baik mampu menjana pendapatan setimpal dengan perkhidmatan yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 4:27 PM
MUHAMMAD Zuhdi (dua kanan) bersama pekerjanya selepas membersihkan sebuah rumah persendirian. FOTO Nazdy Harun
MUHAMMAD Zuhdi (dua kanan) bersama pekerjanya selepas membersihkan sebuah rumah persendirian. FOTO Nazdy Harun