FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Tatakelola dan urus tadbir yang baik adalah elemen penting yang dapat menambah kepercayaan orang ramai dalam membangunkan negara.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, dengan adanya kepercayaan orang ramai, ia seterusnya mampu menarik kedatangan pelabur asing ke negara ini.

"Pelabur asing ini akan melabur di dalam negara kerana melihat institusi, struktur dan tatakelola baik berlaku dalam kerajaan.

"Disebabkan itu juga, ekonomi kita akan bertumbuh semakin baik. Pembaharuan struktur, sistem dan institusi ini perlu dilakukan segera," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Badlishah, antara cadangan pembaharuan yang perlu dilakukan adalah dengan melakukan reformasi terhadap institusi kenegaraan.

"Contohnya pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya. Pada masa sekarang, kuasa untuk mendakwa berada di bawah peguam negara.

"Jika dipisahkan, tidak adalah kes pendakwaan akan dipengaruhi oleh peguam negara. Di banyak negara lain, fungsi kedua-dua ini dipisahkan dan bukannya disatukan," katanya.

Antara pembaharuan lain dicadangkan olehnya adalah meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berada di bawah parlimen, bukannya di bawah eksekutif.

"Langkah ini supaya ia (SPRM) bertanggungjawab terus kepada parlimen. Maknanya kes-kes rasuah dan penyiasatan dapat dilakukan tanpa pengaruh eksekutif dan lebih bebas. Jadi kita minta reformasi itu berlaku," katanya.

Sementara itu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula berpandangan, tatakelola yang lebih cekap boleh direalisasikan dengan meletakkan individu yang betul di tempat sepatutnya.

Katanya, dengan meletakkan individu yang `tepat', ia bakal mewujudkan satu suasana proaktif. Kakitangan sektor awam atau swasta akan bekerja demi memastikan negara menuju ke arah lebih baik.

"Untuk menjadikan perkara itu `betul', perlu letakkan ketua-ketua unit atau pemangkin yang boleh mendorong kumpulan kerja ini bekerja sebagai satu pasukan dalam membina negara.

"Mereka seharusnya ada falsafah baru dalam membentuk pemikiran membina negara dan falsafah ini perlu dibentuk dalam keperibadian diri, konsep kerja, gerak kerja dan proses penghayatan.

"Ia supaya elemen kenegaraan ini menjangkaui elemen bersifat peribadi atau politik. Pendekatan ini mampu menjayakan Ekonomi Madani sebagai salah satu perubahan membina tamadun," katanya.

Selain itu katanya, pelaksanaan secara mikro dan operatif juga seharusnya ditekankan oleh kerajaan bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan berkait isu tatakelola ini

"Sebagai contoh masyarakat memahami aspirasi kerajaan terutama dilihat harga barang yang semakin stabil, kenaikan kos sara hidup yang dapat dikawal dan peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Kerajaan harus bertindak mencari mekanisme untuk memastikan perkara-perkara mikro ini secara operatif dapat dilihat dan dinilai oleh rakyat.

"Dalam masa yang sama perkara-perkara lebih besar turut berjalan seperti mencari pelaburan strategik, memastikan negara terus mampu mengukuhkan nilai ringgit dan sebagainya," katanya.

Di bawah Ekonomi Madani, kerangka ini hanya akan berhasil dengan dukungan dan kepercayaan semua pihak terhadap kerajaan.

Hanya dengan tatakelola yang baik serta sistem penyampaian perkhidmatan yang tangkas sahaja mampu merealisasikan hasrat ini.

Antaranya dengan pembaharuan struktur, sistem dan institusi perlu dilakukan segera kerana perkara ini yang akan menggerakkan Malaysia ke sasaran yang ingin dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 5:04 PM