Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Mohd Afzanizam Abdul Rashid
BERNAMA

Kuala Lumpur: Nilai ringgit dijangkakan lebih baik daripada sekarang susulan sokongan daripada pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan kerajaan pada masa ini, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata, turun naik mata wang, terutamanya bagi ringgit, adalah perkara biasa dan sering didorong oleh penunjuk makroekonomi memandangkan Malaysia adalah negara perdagangan terbuka.

"Melihat kepada petunjuk makroekonomi, lebihan akaun semasa bagi 2023 kekal pada 1.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai simpanan yang boleh digunakan untuk pelaburan dalam negara.

"Pasaran buruh kita berada dalam status guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran yang lebih rendah sebanyak 3.3 peratus pada akhir 2023. Dalam erti kata itu, nilai ringgit sepatutnya lebih baik daripada apa yang ada pada masa ini," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam menyatakan disebabkan oleh impak sentimen terhadap penilaian mata wang, adalah sukar untuk membuat jangkaan mengenai isu itu.

Dalam satu kenyataan Selasa lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bank pusat itu berpandangan bahawa paras semasa ringgit tidak menggambarkan prospek positif ekonomi Malaysia.

"Mempertimbangkan perkembangan positif ini dan komitmen kerajaan untuk melaksanakan reformasi struktur, termasuk jangkaan penurunan kadar faedah dalam ekonomi maju, kebanyakan penganalisis menjangkakan ringgit meningkat tahun ini," kata beliau.

Mohd Afzanizam mengatakan bahawa Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal juga penting kepada reformasi fiskal yang berterusan bagi memastikan tadbir urus dan ketelusan dalam mengurus kewangan awam dan risiko fiskal.‚Äč

"Apa yang boleh dilakukan ialah kita terus mengekalkan pembaharuan struktur seperti langkah-langkah cukai pembetulan, rasionalisasi subsidi, yang akan terus menarik pelabur-pelabur berkualiti dan menangani isu-isu teras.

"Memandangkan paras hutang Malaysia adalah dalam mata wang mata wang tempatan dan bukan hutang luar negeri, kita tidak perlu menekan butang panik," katanya.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, kelemahan semasa ringgit adalah sementara kerana pasaran global, terutamanya rakan dagangan terbesar Malaysia, iaitu China sedang mengimbangi semula trend inflasi mereka.

Beliau menyifatkan penyusutan nilai ringgit sekarang sebagai reaksi yang berlebihan.

"Namun, konteks yang lebih luas bagi banyak negara Asia yang bergelut di bawah keadaan kewangan yang ketat, terutamanya yang bergantung kepada pembiayaan dalam denominasi dolar AS, menjadikan akses pendanaan luar terlalu mahal," kata Innes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 8:55 AM