BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kemalangan maut di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada Jumaat lalu.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Menurut catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan perasaan sedih dengan pemergian mereka dan berharap supaya seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut catatan itu.

Enam sekeluarga yang meninggal dunia dalam kemalangan itu ialah pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43, serta empat anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Kemalangan berlaku selepas kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 2:11 PM