GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga beranak iaitu ibu dan dua anak perempuannya ditahan polis di sekitar daerah Pendang dan Alor Setar kerana disyaki menjadi dalang kes penipuan jual beli barangan dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes mangsa ditipu dalam urusan pembelian produk kecantikan jenama sendiri yang tidak wujud melalui Instagram.

Katanya, susulan itu, pada 17, 18 dan 22 Ogos lalu, JSJK Kedah menahan tiga wanita berkenaan yang berusia 28 hingga 53 tahun kerana disyaki menjadi dalang kes berkenaan dalam tangkapan Merpati (Internet Scam).

"Siasatan mendapati, ketiga-tiga mereka dipercayai menjalankan aktiviti itu sejak tahun 2018. Dengan tertangkapnya ketiga-tiga mereka, polis berjaya menyelesaikan 14 kes berkaitan penipuan menggunakan modus operandi sama," katanya.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan mangsa lain yang ditipu oleh ketiga-tiga suspek itu supaya tampil membuat laporan polis.

Beliau turut mengingatkan kepada orang orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran jualan barangan secara dalam talian terutama membabitkan penawaran harga yang rendah sebelum membuat transaksi.

Semakan awal terhadap kesahihan maklumat yang diterima juga boleh dibuat di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau melalui aplikasi Check Scammer CCID yang boleh dimuat turun melalui Play Store dan App Store.

Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan mengetahui modus operandi jenayah komersil terkini melalui laman Facebook rasmi http://www.facebook.com./CyberCrimeAlertRMP/, http://Facebook.com/JSJKPDRM/ dan http://m.facebook.com/jsjkked/

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 8:20 PM