ABDUL Ghafar (dua kanan) menunjukkan rokok seludup pelbagai jenama yang bernilai keseluruhan RM1.3 juta. FOTO Ihsan JKDM.
ABDUL Ghafar (dua kanan) menunjukkan rokok seludup pelbagai jenama yang bernilai keseluruhan RM1.3 juta. FOTO Ihsan JKDM.
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas rokok seludup bernilai lebih RM1.3 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan pada 27 Julai lalu.

Pengarah JKDM Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, dalam serbuan pertama di Tol Sungkai pada jam 8.15 pagi, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun berbangsa Siam dalam satu Sekatan Jalan Raya (SJR) oleh Bahagian Penguatkuasaan Negeri.

"Kegiatan lelaki terbabit dikesan melalui maklumat penyampai rahsia dan risikan selama dua bulan.

"Susulan daripada tangkapan itu, kita membuat dua lagi serbuan di Puchong, Selangor dan Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur seterusnya merampas rokok pelbagai jenama yang disyaki larangan kastam.

"Hasil rampasan keseluruhan dalam operasi khas ini adalah sebanyak 1,817,960 batang dengan keseluruhan nilai rokok termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM1,371,688.84, yang mana nilai rokok lebih kurang RM161,668.40 dan anggaran cukai sebanyak RM1,210,020.44," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesalahan disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) dan Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 4:36 PM