Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Anggota polis berpangkat sarjan dijatuhi hukuman penjara 8 bulan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 34 pertuduhan menerima suapan yang berjumlah RM12,500.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Azhar Othman selepas tertuduh, Mohd Izzham Halim, 36, mengaku salah terhadap 34 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK).

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah mengarahkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara terhadap tertuduh berjalan serentak bermula daripada tarikh dia dituduh iaitu pada 14 Mac lalu.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman didakwa menerima suapan antara RM50 hingga RM3,200 daripada seorang individu melalui akaun bank.

Suapan itu sebagai dorongan untuk menyalurkan maklumat pergerakan operasi pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kemaman antara 26 Disember 2019 hingga 10 Mac tahun lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 165 KK berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sementara itu wang sebanyak RM3,200 yang berada di dalam akaun peribadi tertuduh turut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40 ASPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Najmi Adila Md Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 4:05 PM