WAN Hashim menghasilkan model pesawat pejuang daripada kit-kit model pesawat di pasaran yang diubah suai termasuk dicat semula dan ditambah aksesori bersesuaian untuk menyerupai aset TUDM. FOTO BERNAMA
WAN Hashim menghasilkan model pesawat pejuang daripada kit-kit model pesawat di pasaran yang diubah suai termasuk dicat semula dan ditambah aksesori bersesuaian untuk menyerupai aset TUDM. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kangar: Seorang pesara tentera dan arkitek di sini menghasilkan pelbagai model pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengajak golongan muda menghayati perjuangan wira negara dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan tanah air.

Mejar (B) Wan Hashim Wan Ahmad, 60, berkata model itu dihasilkan daripada kit-kit model pesawat di pasaran yang diubah suai termasuk dicat semula dan ditambah aksesori bersesuaian untuk menyerupai aset TUDM.

Wan Hashim berkata beliau mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu sejak di bangku sekolah dan minat mendalam terhadap aset ketenteraan khususnya pesawat pejuang mendorong beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1984.

Katanya ia bermula semasa beliau berumur 12 tahun apabila menerima duit sebagai sagu hati menjaga datuk yang sedang mendapat rawatan di wad Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

"Duit yang diperoleh saya guna untuk membeli sebuah model kapal terbang berharga RM5, saya belajar sendiri memasang model tersebut dan mencuba pelbagai jenis gam namun model itu pecah.

"Tanpa putus asa saya teruskan usaha dan akhirnya berjaya siapkan kit model tersebut, dari kejayaan itu saya terus pasang beberapa buah model lagi secara serius ketika mula berkhidmat dalam tentera pada tahun 1984," katanya.

Katanya hingga kini beliau sudah menghasilkan 80 model aset ketenteraan negara antaranya jet pejuang pertama yang digunakan TUDM iaitu Pesawat CL-41G atau 'Tebuan', Pesawat A-4 Skyhawk dan lain-lain.

Wan Hashim berkata kit model dibeli dengan harga RM200 hingga RM3,000 dan mengambil masa seminggu hingga lima tahun untuk sesuatu model disiapkan.

Ini kerana katanya, ia membabitkan proses yang rumit dan memerlukan ketelitian, bermula daripada mencantum sehinggalah mengecat agar kelihatan sama seperti jet pejuang yang digunakan TUDM.

"Apa yang saya harapkan adalah model ini akan memberi inspirasi kepada golongan muda agar lebih menghayati perjuangan wira negara yang mempertahankan kedaulatan negara agar ia dapat terus diwarisi kepada generasi akan datang," katanya.

Turut berkongsi minat yang sama, Kim Wong, 63 berkata selain sebagai hobi dan mencari kepuasan, beliau memasang kit model pesawat tempur sebagai satu daripada cara menghargai pengorbanan dan perjuangan wira udara Malaysia.

"Ramai yang teruja khususnya golongan muda apabila melihat model pesawat pejuang, daripada situ kita boleh ceritakan kepada mereka bagaimana wira negara menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara daripada sebarang ancaman," katanya yang juga seorang arkitek.

Kim berkata setakat ini beliau sudah memasang 50 kit model pesawat pejuang termasuk jet pejuang MiG-29, F16 dan banyak lagi.

Impiannya adalah untuk membuka muzium koleksi model kapal terbang sendiri di Kangar satu hari nanti.

"Idea saya adalah untuk membuka muzium kit model kapal terbang dari tahun 1930-2003 bagi memberi penerangan kepada orang ramai tentang sejarah kapal terbang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 11:31 AM