Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas didapati memandu secara melulu sehingga merbahayakan pengguna jalan raya lain di bandar raya ini, awal pagi tadi. FOTO Ihsan Polis
Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas didapati memandu secara melulu sehingga merbahayakan pengguna jalan raya lain di bandar raya ini, awal pagi tadi. FOTO Ihsan Polis
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki warga tempatan ditahan polis selepas didapati memandu secara melulu sehingga merbahayakan pengguna jalan raya lain di bandar raya ini, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 31 tahun itu turut ditahan kerana didapati menghalang tugas penjawat awam dan merosakkan harta benda awam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya berjaya menahan suspek selepas mengejar kereta dipandu suspek sejauh 15 kilometer.

"Kira-kira jam 2 pagi di Jalan Tebrau di sini, polis daripada Cawangan Kereta Peronda (MPV) terserempak dengan sebuah kenderaan yang dipandu oleh suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek dilihat melarikan diri daripada polis dengan memandu kenderaan secara melulu.

"Sebanyak tujuh kereta MPV polis mengekori suspek sejauh 15 kilometer dalam masa 11 minit," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan selepas kenderaannya merempuh pagar keselamatan di tepi jalan sebuah taman perumahan berdekatan.

Katanya, polis kemudian merampas Proton Persona yang dipandu oleh suspek.

Menurut Raub, hasil semakan rekod lampau, suspek didapati mempunyai lima rekod kes jenayah dan empat rekod kes dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif methaphetamine. Kita percaya itulah (mengambil dadah) punca suspek melarikan diri daripada polis," jelasnya.

Raub berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu bagi membolehkan siasatan lanjut terhadapnya dilakukan.

Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Memandu Secara Melulu) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 9:10 PM