Kuala Terengganu: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengkaji keperluan pemberian vaksin influenza kepada rakyat terutama golongan berisiko bagi mengekang penularan jangkitan itu.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, ketika ini, pemberian vaksin di peringkat awal hanya akan membabitkan petugas kesihatan yang bekerja di barisan hadapan.
"Kita lakukan (pemberian vaksin influenza) untuk kakitangan dahulu sebab mereka adalah pertahanan hadapan, jadi insya-Allah, kita boleh fikirkan kemungkinan untuk rakyat (terutama) yang ada risiko.
"(Vaksin influenza untuk petugas) belum diberikan lagi, mungkin dalam satu, dua bulan ini, insya-Allah kita akan cuba dapatkan untuk lindungi petugas kesihatan khususnya petugas barisan hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, jangkitan kes influenza di negara ini masih terkawal dan semua fasiliti kesihatan awam di seluruh negara mampu menampung pesakit sekiranya berlaku peningkatan kes dalam masa terdekat.
Beliau berkata, semua fasiliti terbabit juga menyediakan pusat saringan demam bagi menangani mana-mana kes yang mempunyai gejala influenza.
Katanya, setakat ini, penularan kes berkenaan masih terkawal apabila jumlah kes menunjukkan penurunan.
"Kalau kita lihat data KKM untuk minggu epidemiologi ke-30 pada tahun ini iaitu daripada 23 Julai hingga 29 Julai 2023, kadar konsultasi kes seperti influenza (ILI) di klinik kesihatan adalah 6.3 peratus.
"Ini bermaksud daripada 100 kes (pesakit) ada enam yang menghidap influenza dan jumlah itu sedikit menurun berbanding dengan minggu epidemiologi sebelumnya iaitu 6.4 peratus.
"Malah, kadar kemasukan kes ini ke hospital pula adalah 7.1 peratus pada minggu epidemiologi ke-30 yang menunjukkan penurunan 0.4 peratus berbanding minggu sebelum ini iaitu 7.5 peratus," katanya.