RANAU berhampiran dengan Kundasang. foto google
RANAU berhampiran dengan Kundasang. foto google
BERNAMA

Ranau: Gegaran kecil akibat gempa bumi lemah berukuran 3.7 pada skala Richter di sini dirasai orang ramai di kawasan itu, namun tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia, Ranau Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan atau panggilan kecemasan daripada orang awam akibat gempa bumi itu.

"Selepas berlakunya gegaran berkenaan kami telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bangunan di sekitar Ranau, semua dalam keadaan baik.

"Orang ramai dinasihatkan bertenang dan laporkan kepada pihak bomba jika berlaku sebarang insiden kecemasan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini memberitahu gempa bumi lemah itu berlaku kira-kira 7.13 pagi tadi dan pusat gempa bumi itu terletak di 6.1 darjah utara dan 116.6 darjah timur dengan kedalaman 5 km iaitu 13 km barat laut dari Ranau.

Rozita Jamrin, 29, seorang guru berkata beliau bersama suami serta empat anaknya sedang bercuti di Bundu Tuhan di sini, dan mereka merasai gegeran itu ketika sedang bersiap untuk keluar dari inap desanya.

"Ingatkan anak-anak saya yang bergurau sesama mereka goyangkan perabot tetapi gempa bumi rupanya, terus kami sekeluarga keluar cepat dari bilik inap desa itu. Tidak lama kemudian staf inap desa maklumkan ada gempa bumi kecil sahaja dan keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 1:19 PM