SULTAN Sharafuddin (tengah) ketika berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. FOTO Bernama
SULTAN Sharafuddin (tengah) ketika berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Shah Alam: Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) hari ini membincangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda, yang juga Pengerusi MKI, bertitah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah isu yang sensitif dalam kalangan umat Islam di Malaysia serta melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian orang Kristian di Sabah dan Sarawak perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam dan dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

"Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dimuktamadkan," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi Majlis itu.

Menyentuh mengenai penyebaran fitnah kononnya lebih 200 sekolah tahfiz di Selangor diarahkan tutup, Sultan Selangor menzahirkan rasa kesal dengan fitnah itu.

"Sesungguhnya fitnah sebegini amat tidak bertanggungjawab dan amat beta kesali kerana ia telah secara tidak langsung merisaukan ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri Selangor," titah baginda.

Baginda juga mahu golongan berkenaan segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab itu.

"Beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah langkah pemutihan perlu diambil terhadap sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk pelajar menimba ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 8:42 PM