Alias Abd Rani


Muar: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang menyelaraskan harga beras Super Spesial Tempatan (SST) bagi memastikan tiada kenaikan harga di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, satu dialog dengan pengilang beras tempatan sudah dijalankan beberapa hari lalu bagi tujuan penyelarasan itu.

Beliau berkata, pertemuan itu membabitkan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood bersama pengilang di seluruh negara.

"Yang penting kita dapat menyelaraskan harga beras ini (SST) memandangkan beras import banyak di pasaran dan harga pun lebih tinggi," katanya selepas Program Santai Peladang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekalan beras SST dilaporkan kehabisan stok menyebabkan pengguna terpaksa membeli beras lebih mahal dan import berkualiti tinggi.

Kekurangan itu disebabkan cuaca panas dengan pengeluaran padi negara terjejas hingga berlaku isu kekurangan bekalan beras itu di pasaran.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, ketika ini bahagian penguatkuasaan Pengawalan Padi dan Beras bergerak cergas untuk memastikan tidak berlaku perubahan kampit dan sebagainya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya setakat ini belum menerima laporan mengenai kekurangan beras SST.

"Belum ada laporan, kalau ada kami akan bertindak pantas," katanya.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya memaklumkan beberapa negara pengeksport beras di dunia sudah mengumumkan untuk mengurangkan eksport bahan makanan itu.

Katanya, India antara negara yang mengumumkan pengurangan eksport beras selain Vietnam akan mengikut jejak langkah terbabit.

"Thailand belum umum lagi tapi kita perlu berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapinya jikalau negara pengeksport beras itu memberhentikannya dengan serta-merta.

"Kita kena bersedia, penanaman padi di negara perlu dipertingkatkan hasilnya, baja, pengairan. Sebab itulah kerajaan berbelanja hampir RM4 bilion untuk membuat pengairan baru bagi membolehkan penanaman padi lima musim untuk dua tahun dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 6:36 PM