ANDI Lokman Hakim bergerak sendiri tanpa bimbingan jurulatih kecergasan. FOTO IHSAN ANDI LOKMAN HAKIM
ANDI Lokman Hakim bergerak sendiri tanpa bimbingan jurulatih kecergasan. FOTO IHSAN ANDI LOKMAN HAKIM
Redzuan Muharam

Temerloh: Pengalaman dibuli ketika sekolah dan saiz badan yang terlalu kurus mendorong Andi Lokman Hakim Ahmad Daot aktif dalam bidang kecergasan hingga dapat bentuk badan yang sado.

Andi Lokman Hakim, 23, dari Felda Sungai Nerek di sini berkata, segalanya bermula ketika dia di tingkatan lima pada akhir 2016 dan dapat lihat hasilnya pada Oktober 2017 iaitu tidak sampai setahun daripada tarikh dia mula giat membina otot.

Berkongsi kisahnya, Andi Lokman Hakim berkata, dia bergerak sendiri tanpa bimbingan jurulatih kecergasan dengan banyak bertanya ilmu berkaitan kecergasan dengan mereka yang ditemuinya di pusat gimnasium.

"Saya mula aktif ketika masih bersekolah dan masih ingat lagi kenangan kayuh basikal sejauh tujuh kilometer (km) semata-mata untuk ke pusat gimnasium.

"Tiada jurulatih peribadi jadi belajar sendiri daripada bawah dan gembira apabila usaha itu membuahkan hasil.

"Perubahan bentuk badan itu buat saya puas dan lebih yakin untuk lindungi diri yang pernah menjadi mangsa buli hanya sebab kurus sangat, tak macam rakan lain ketika itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, pembabitan aktif dalam bidang kecergasan juga mengajarnya menjadi individu yang lebih berdisiplin.

PEMBABITAN aktif dalam bidang kecergasan juga mengajarnya menjadi individu yang lebih berdisiplin. FOTO IHSAN ANDI LOKMAN HAKIM
PEMBABITAN aktif dalam bidang kecergasan juga mengajarnya menjadi individu yang lebih berdisiplin. FOTO IHSAN ANDI LOKMAN HAKIM

"Paling ketara adalah daripada segi diet dan pemakanan kerana bidang kecergasan didik saya latih diri ambil makanan sihat.

"Bagaimanapun, saya tidak terlalu menjaga setiap masa kerana masih boleh makan hidangan tertentu cuma kawal daripada segi kuantitinya.

"Selain aktiviti kecergasan, saya bersukan juga secara santai dengan main golf, bowling dan snuker untuk mengisi masa terluang," katanya.

Bagi mencari pengalaman, Andi Lokman Hakim juga pernah menyertai pertandingan badan cantik sejak 2017 iaitu tahun kedua dia aktif dalam bidang kecergasan.

"Saya pernah dapat tempat kesembilan dalam penyertaan sulung, keenam dalam kejohanan Mr Pahang di Kuantan pada tahun lalu dan keempat bagi pertandingan di Johor.

"Saya tak terlalu serius untuk buru kemenangan cuma nak merasai pengalaman beraksi di pentas dengan insan lain yang jauh lebih hebat.

"Pernah juga terima tawaran jadi model cuma ada yang terpaksa ditolak kerana lebih kepada cuma mengambil kesempatan," katanya.

Andi Lokman Hakim berkata, dia kini masih aktif walaupun ada komitmen kerja sebagai penasihat jualan dan pemasaran kenderaan di sebuah syarikat automotif kerana bidang kecergasan sudah sebati dengan dirinya.

"Sumber pendapatan lain saya adalah hasil menjadi ejen hartanah.

"Saya tak rancang nak jadi jurulatih kecergasan kerana fokus akan datang adalah ceburi bidang perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 7:01 AM