SEBAHAGIAN peniaga memakai busana Melayu tradisional dan mengibarkan Jalur Gemilang di sekitar Payang Walk bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2023. FOTO Ghazali Kori
SEBAHAGIAN peniaga memakai busana Melayu tradisional dan mengibarkan Jalur Gemilang di sekitar Payang Walk bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2023. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Beberapa jalan di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu ditutup secara berperingkat pada Selasa dan Khamis ini bagi memberi laluan kepada raptai penuh perbarisan dan sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, ia membabitkan jalan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jalan Sultan Omar, Bulatan Sultan Omar, Jalan Cerung Lanjut, Wisma TNB, Jalan Engku SAR dan Jalan Tok Lam.

Beliau berkata, beberapa jalan lain yang turut ditutup adalah Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Kampung Kolam, Jalan Sultan Zainal Abidin dan pintu gerbang Dataran Shah Bandar.

"Ia ditutup secara berperingkat bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari pada Selasa manakala pada Hari Kebangsaan, ia ditutup bermula jam 7.45 pagi hingga 12 tengah hari.

"Selain itu, terdapat empat jalan yang ditutup sepenuhnya pada Khamis iaitu Jalan Pesisir Payang (selepas Pasar Payang); Jalan Masjid Abidin (selepas simpang Restoran Matt Ori); Jalan Tok Lam (selepas Kedai 7 Rex Trading Sdn Bhd) dan Jalan Sultan Zainal Abidin (dari lampu isyarat Mayang Mall)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohd Zaki berkata, terdapat empat laluan alternatif yang boleh digunakan bagi mereka yang ingin ke pusat bandar iaitu bagi pengguna dari Marang dan Chendering boleh menggunakan Jalan Batu Buruk-Jalan Kamarudin manakala pengguna dari Gong Badak dan Kuala Nerus boleh menggunakan Jambatan Sultan Mahmud-Bukit Besar-Jalan Air Jernih.

Katanya, pengguna dari Seberang Takir boleh menggunakan Jalan Tengku Ampuan Bariah-Jambatan Sultan Mahmud-Bukit Besar-Jalan Air Jernih dan pengguna dari Simpang Tokku pula boleh menggunakan laluan Bukit Besar-Jalan Air Jernih.

"Bagi pengguna yang ingin ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), mereka boleh melalui Jalan Sultan Mahmud dari persimpangan Batu Buruk ke persimpangan HSNZ, " katanya.

Wan Mohd Zaki berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai serta tidak menghalang laluan yang digunakan sebagai laluan perbarisan bagi mengelak berlakunya sebarang kesulitan.

Katanya, penggunaan semua jenis dron tanpa kelulusan di kawasan sambutan Hari Kebangsaan 2023 adalah dilarang bagi mengelak kejadian tidak diingini membabitkan aspek keselamatan orang awam berlaku.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi segala arahan yang diberikan anggota polis yang bertugas dan pengguna boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di talian 09-6322243 untuk sebarang pertanyaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 5:08 PM