MOHD Irwan dan Syaiful Rizal  menyerahkan mock cek kepada Zaliman disaksikan Tuanku Syed Faizuddin. FOTO Ihsan YBR
MOHD Irwan dan Syaiful Rizal menyerahkan mock cek kepada Zaliman disaksikan Tuanku Syed Faizuddin. FOTO Ihsan YBR
Muhaamad Hafis Nawawi


Arau: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) mengadakan Program Autisme Hub for Educational Resources & Training (A-Heart), di sini, hari ini, selaras dengan usaha memberi pendidikan lebih inklusif kepada golongan yang memerlukan.

Menerusi A-Heart, anak-anak autisme dalam kalangan keluarga B40 komuniti Perlis terpilih menyertai program ini yang dijalankan sepanjang tahun bertujuan menyediakan sesi terapi deria dan cara kerja kepada kanak-kanak dan remaja autisme yang mana 48 sesi terapi setahun sudah dirancang.

Ia turut menawarkan sesi diagnosis keperluan terapi anak autisme bagi memastikan pendekatan terapi yang efektif serta menyediakan sokongan kemudahan pengangkutan dalam kalangan mereka yang menghadapi kekangan menghantar anak mereka mengikuti sesi terapi.

Raja Muda Perlis selaku Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin mencemar duli berangkat ke program berkenaan ke Dewan Ilmu di UniMAP hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis selaku Pro Canselor UMP Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir adalah Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, galakan dan dorongan perlu diberikan kepada golongan anak-anak autisme kerana ia dapat memberi fokus dalam mengembangkan potensi dalam kalangan kanak-kanak istimewa ini.

"Selain itu, inisiatif YBR ini juga secara tidak langsung menjadi platform kepada anak-anak istimewa ini mendapat peluang pemulihan dan pendidikan mengikut tahap keupayaan dan keperluan masing-masing.

"Kerjasama ini adalah langkah positif bagi memastikan anak-anak autisme mendapat tempat dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, golongan istimewa ini berbeza dengan mereka yang normal tetapi tetap mempunyai kelebihan akal fikiran dan kemahiran.

Bagi 2022, seramai 33,903 penerima manfaat menyertai program pembangunan masyarakat anjuran YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang membabitkan 72 program melalui inisiatif Program Pembangunan Masyarakat ini.

YBR turut berharap dengan penganjuran program seperti ini dapat memberi satu impak yang besar kepada usaha untuk membantu masyarakat istimewa dan memberi kesedaran bahawa organisasi luar turut mengambil berat serta sedaya upaya mempelbagai bantuan dan aktiviti kepada yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 9:58 PM