Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 22 jalan akan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya yang berlangsung pada 31 Ogos ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, semua jalan berkenaan ditutup bermula jam 5 hingga 11 pagi secara berperingkat.

"Seramai 1,764 pegawai dan anggota termasuk 171 petugas trafik Polis Kuala Lumpur akan bertugas pada hari sambutan terbabit.

"Kita menjangkakan seramai 100,000 pengunjung akan hadir pada majlis sambutan Hari Kebangsaan nanti," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Allaudeen berkata, tempat letak kenderaan adalah terhad dan pengunjung digalakkan menggunakan bas henti-henti yang disediakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Kompleks E dan Putrajaya Sentral untuk ke lokasi acara sambutan.

"Bagi kenderaan e-hailing, mereka boleh menurunkan penumpang di sekitar kawasan Masjid Besi, Kiblat Walk dan Jalan Tun Hussein (belakang Istana Kehakiman).

"Pengangkutan percuma juga disediakan oleh Perbadanan Putrajaya di Terminal Putrajaya Sentral dan PICC.

"Orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam bas, Express Rail Link (ERL) serta Mass Rapid Transit (MRT)," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan menutup 18 jalan pada 5 hingga 11 pagi ketika raptai dan raptai penuh di Dataran Putrajaya pada 27 hingga 29 Ogos ini.

Katanya, antara jalan yang ditutup adalah Persiaran Perdana ke Laman Perdana, Lebuh Saujana ke Persiaran Perdana dan ke Lebuh Wadi Ehsan, Lebuh Wawasan ke Lingkaran Gemilang 1, Lebuh Bestari ke Persiaran Perdana dan Jalan Kemerdekaan ke arah Persiaran Perdana.

Sementara itu, pihaknya menjangkakan kira-kira 30,000 orang akan berada di tiga lokasi tumpuan sekitar ibu negara iaitu Dataran Merdeka, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Bukit Bintang bagi menyambut malam ambang merdeka.

"Terdapat beberapa laluan ke Dataran Merdeka akan ditutup seawal jam 5 petang pada 30 Ogos ini bagi memastikan kelancaran trafik.

"Setakat ini, tiada penutupan jalan di KLCC dan Bukit Bintang. Namun, tindakan segera akan diambil apabila berlaku kesesakan bagi melancarkan aliran trafik di lokasi berkenaan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan dron tanpa kelulusan selain membawa apa-apa kain rentang, plakad atau banner berunsur sensitif adalah tidak dibenarkan sepanjang raptai, ambang merdeka serta hari sambutan.

"Pengunjung diminta membuat perancangan teliti dan hadir lebih awal bagi elak kesesakan selain memastikan kenderaan tidak diletakkan di kawasan larangan," katanya.

Senarai 22 jalan ditutup semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya.

1. Persiaran Perdana ke Laman Perdana

2. Lebuh Wawasan ke Persiaran Perdana dua-dua arah

3. Lebuh Saujana ke Persiaran Perdana

4. Lebuh Bestari ke Persiaran Perdana

5. Jalan Pembangunan dari arah Jalan Tun Abd Razak dan Jalan Permodenan

6. Jalan Kemerdekaan ke arah Persiaran Perdana

7. Jalan Tun Abd Razak ke Lebuh Wawasan

8. Jalan Tuanku Abd Rahman Lebuh Wawasan

9. Jalan P3F ke Persiaran Perdana

10. Jalan P2K ke Persiaran Perdana

11. Jalan P3C ke Persiaran Perdana

12. Jalan P2S ke Persiaran Perdana

13. Jalan P2W ke Persiaran Perdana

14. Jalan P2P ke Persiaran Perdana

15. Lebuh Setia ke Persiaran Perdana

16. Jalan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke Bulatan Putra

17. Lebuh Setia ke Persiaran Perdana

18. Jalan Perpaduan ke Lingkaran Gemilang 1

19. Jalan Tun Hussein ke Lebuh Bestari

20. Persimpangan Lebuh Saujana/Persiaran Perdana

21. Lebuh Sentosa ke Persiaran Perdana

22. Lebuh Wadi Ehsan ke Persiaran Perdana

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 2:43 PM
ALLAUDEEN pada sidang media mengenai penutupan 22 jalan sekitar Putrajaya sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini. FOTO BERNAMA
ALLAUDEEN pada sidang media mengenai penutupan 22 jalan sekitar Putrajaya sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini. FOTO BERNAMA