ORANG ramai berhimpun di Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kemerdekaan, hari ini.  FOTO Mohd Fadli Hamzah
ORANG ramai berhimpun di Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kemerdekaan, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Fazrik Kamarudin


BEBERAPA laluan menghala keluar dari Putrajaya sudah dibuka semula secara berperingkat.

Ini bagi memastikan aliran keluar trafik berjalan lancar sebaik sahaja selesai perarakan dan perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya.

Tinjauan NSTP mendapati, laluan keluar menggunakan Lebuh Saujana dan Lebuh Sentosa menuju Lebuhraya Plus dan Lebuhraya MEX menghala Kuala Lumpur mula dipenuhi kenderaan.

Sementara laluan masuk ke Presint 3 dan Presint 2 pula masih sesak.

Anggota polis trafik dan penguatkuasa Perbadanan Putrajaya berada di beberapa persimpangan utama bagi mengawal lalu lintas yang semakin sibuk.

Beberapa jalan utama lain di Putrajaya juga dijangka akan dibuka semula bagi memudahkan aliran keluar trafik.

Antara jalan berkenaan ialah Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Wawasan, Lebuh Bestari, Lebuh Setia, Jalan Perpaduan, Jambatan Wawasan, Jalan Pembangunan dan Jalan Kemerdekaan.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati tindakan segelintir pemilik kenderaan yang berdegil meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan menyumbang kepada kesesakan trafik.

Kenderaan yang diletakkan di bahu jalan dan di lorong paling kiri menyebabkan hanya dua lorong yang boleh digunakan.

Kesesakan boleh dilihat sepanjang dua kilometer bermula dari persimpangan masuk ke Sri Satria sehingga ke kawasan berhampiran Kementerian Kewangan.

Trafik keluar masuk Putrajaya dijangkakan akan terus sesak sehingga 12 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 11:04 AM