MUHAMAD Zaki (tengah) bersama pegawai menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki (tengah) bersama pegawai menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis menahan seorang lelaki warga Thailand dipercayai bekas banduan bersama 160,000 biji pil kuda membabitkan nilai RM1.76 juta.

Penahanan lelaki berusia 41 tahun itu dibuat jam 7.45 malam kelmarin oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di hadapan sebuah rumah di Kampung Kubang Kacang di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketika ditahan, suspek sedang memegang satu guni yang mengandungi 17 bungkusan kertas kekuningan.

"Bungkusan itu mengandungi 100,000 biji pil kuda dan selepas soal siasat dibuat, suspek membawa pasukan ke sebuah stor sebelum menjumpai dua besen plastik yang berisi 60,000 biji pil kuda.

"Keseluruhan rampasan adalah 160,000 biji dengan nilai dianggarkan RM1.76 juta dan turut disita adalah sebuah kereta jenis Nissan Teana serta motosikal Honda Scoopy dengan masing-masing bernombor pendaftaran Thailand," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, hasil semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu tiada rekod lampau di negara ini namun dipercayai baharu dibebaskan dari penjara negara jiran.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dibuat bagi mengesan individu yang turut terbabit dengan kes itu serta ke mana barangan berkenaan akan dibawa.

"Suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 25 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan," katanya.

Dalam serbuan berasingan, seorang lelaki dengan tiga rekod lampau bersabit dadah ditahan di sebuah rumah di Kampung Pek, Machang, dekat sini, dipercayai sedang memproses air ketum.

Muhamad Zaki berkata, serbuan dibuat oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) jam 9 malam tadi dan merampas 750 liter air ketum, 15 kilogram daun ketum serta beberapa peralatan dengan nilai dianggarkan RM7,650.

"Suspek berusia 53 tahun itu ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dengan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 4:35 PM