GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Hasrat seorang suri rumah yang menetap di Dubai untuk mendapatkan tiket penerbangan dengan harga lebih murah tidak kesampaian apabila ditipu lelaki yang pernah bekerja di sebuah syarikat penerbangan antarabangsa.

Mangsa, Fasehah Roslan, 34, berkata, dia mengenali lelaki berusia 36 tahun itu selepas membeli langganan rancangan televisyen negara ini dengannya pada Ogos tahun lalu.

"Sepanjang tempoh melanggan rancangan televisyen itu, semuanya berjalan lancar dan dia banyak membantu sekiranya ada masalah selain berbudi bahasa ketika berkomunikasi.

"Keyakinan itu menyebabkan saya mahu mendaftar di bawah namanya selaku kakitangan syarikat penerbangan yang layak mendapatkan harga tiket penerbangan lebih murah.

"Dengan mendaftarkan nama dengannya, saya boleh membeli tiket dari Dubai ke Kuala Lumpur pada harga bawah RM2,000 (dua hala) seorang berbanding lebih RM4,000 dengan pembelian di syarikat lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fasehah berkata, tertarik dengan iklan ditawarkan oleh lelaki itu di Facebook, dia bersetuju mendaftar dengan bayaran RM5,500 yang dibayar menggunakan akaun bank Malaysia pada Disember lalu.

"Saya hanya menyedari ditipu selepas lelaki itu gagal dihubungi pada Mac lalu semasa saya mahu membuat tempahan tiket untuk balik ke ibu negara sempena Aidilfitri bersama suami dan anak-anak.

"Usaha menghubunginya menemui jalan buntu menyebabkan saya cuba mencari maklumat mengenai lelaki terbabit dan dimaklumkan dia sudah diberhentikan kerja dari syarikat penerbangan itu," katanya.

Dia berkata, ada beberapa individu tampil memberitahunya bahawa mereka turut menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit yang menggunakan modus operandi sama.

"Selepas saya memuat naik mengenai penipuan lelaki itu di Facebook, ada individu yang memberitahu mereka juga menjadi mangsa dengan ada ditipu antara RM3,000 hingga RM7,000.

"Saya ada membuat laporan di Dubai, namun tindakan lanjut mengesan lelaki terbabit tidak dapat dilakukan kerana kekurangan maklumat dan difahamkan lelaki itu sudah kembali ke tanah air," katanya.

Fasehah berkata, dia berhasrat mengambil tindakan lanjut terhadap lelaki itu supaya tiada individu lain yang menjadi mangsa penipuannya.

"Saya ada menghubungi polis di Malaysia untuk mengetahui sama ada tindakan boleh diambil terhadap lelaki itu atas kesalahan menipu.

"Polis memberitahu saya perlu hadir ke balai di Malaysia untuk membuat laporan.

"Saya akan membuat laporan polis sekiranya berkesempatan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat atau melantik peguam bagi untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 3:24 PM