BERNAMA

Shah Alam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu program memperingati Rasulullah SAW seperti Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 yang diadakan di Selangor diteruskan ke seluruh pelusuk negara.

Beliau berkata ini kerana program seumpama itu berupaya mengetuk pintu hati ummah untuk mengingati dan mencintai junjungan Nabi Muhammad SAW.

"Terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang memeriahkan Selangor dengan gegaran selawat dan selepas Selangor, kita akan jelajah seluruh negara selepas Pilihan Raya Negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Tertutup Malawati malam ini.

Perdana Menteri berkata negara MADANI pimpinan beliau ditegakkan dengan nilai dan akhlak mengikut contoh Nabi Muhammad SAW dan seharusnya kesedaran untuk mengingati serta berselawat kepada baginda disebarkan ke seluruh Malaysia yang tercinta.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Malawati, Shah Alam. FOTO  FAIZ ANUAR
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Malawati, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dengan kerjasama Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai) merupakan kesinambungan program pertama pada 14 Januari lalu yang mendapat sambutan menggalakkan.

Acara selawat dan zikir munajat malam ini turut menampilkan ulama serta pendakwah terkenal seperti Sheikh Abu Zaki, Ustaz Neezam Al-Banjari dan Ustaz Dr Ahmad Farkhurrazi yang menarik lebih 5,000 hadirin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 11:24 PM