ANTARA kereta mewah yang terbabit dalam penipuan.
ANTARA kereta mewah yang terbabit dalam penipuan.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan beberapa lagi individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai berkata, pihaknya sedang memburu beberapa individu yang disyaki terbabit dengan rangkaian sindiket berkenaan.

"Kita percaya aktiviti yang dijalankan oleh sindiket berkenaan sudah lama iaitu lebih lima tahun lalu, siasatan lebih mendalam sedang dilaksanakan," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

Dalam operasi oleh Bahagian Operasi Khas SPRM itu, tujuh individu ditahan di Kedah, dan mereka ini dikesan adalah ejen kastam yang bersubahat mengemukakan maklumat palsu.

Siasatan SPRM mendedahkan, suspek bersubahat bersama pemilik kereta terbabit mengemukakan dokumen mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam.

Bagaimanapun, satu sumber mendedahkan, kenderaan mewah itu tidak layak mendapat pengurangan penilaian duti kastam.

Antara jenis kenderaan mewah dirampas setakat ini adalah jenis McLaren dan Ferrari namun difahamkan terdapat banyak lagi kenderaan mewah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 4:23 PM