GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Klang: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam jenayah khianat dengan membakar bonet dan memecahkan cermin 15 kenderaan di sekitar daerah ini.

Kejadian terbaru membabitkan enam kenderaan di Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi dekat sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek yang berusia 53 tahun itu ditahan berdekatan lokasi kejadian pada hari sama, jam 5.30 petang.

"Berdasarkan siasatan, suspek didapati memecahkan cermin sebuah van di kawasan lampu isyarat di Lebuh Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi dan lapan kenderaan membabitkan tujuh kereta serta sebuah bas yang diletakkan di kawasan berhampiran.

"Setakat ini sejumlah 15 kenderaan dirosakkan dengan cara membakar bonet dan memecahkan cermin membabitkan kerugian dianggarkan berjumlah RM15,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Katanya, suspek yang tidak bekerja juga didapati positif dadah berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan.

"Polis masih menyiasat punca sebenar suspek bertindak demikian dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek direman sehingga 20 Julai dan pegawai penyiasat dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu, Hoong Fong berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 24 tahun yang melaporkan keretanya yang diparkir di Bandar Bukit Tinggi terbakar di bahagian hadapan dan terdapat pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor sedang memadam api.

"Hasil siasatan mendapati terdapat lima lagi kenderaan lain di parkir itu turut terbakar.

"Keterangan saksi kejadian mendakwa terdapat seorang lelaki membawa botol mineral disyaki mengandungi bahan bakar," katanya.

Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, pihaknya mendapati beberapa video berkaitan suspek tular di media sosial justeru, polis menasihatkan orang awam supaya jangan menularkan video berkenaan bagi mengelakkan kegusaran masyarakat setempat.

"Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 3:10 PM