FADHLINA memakai baju kurung dihasilkan dua pelajar kolej vokasional di Kedah. FOTO ihsan FB Fadhlina Sidek
FADHLINA memakai baju kurung dihasilkan dua pelajar kolej vokasional di Kedah. FOTO ihsan FB Fadhlina Sidek
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Baju kurung sentuhan dua pelajar sebuah kolej vokasional di Kedah mendapat perhatian apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berbangga memakai pakaian itu.

Fadhlina berkata, beliau sangat berpuas hati dengan corak dan jenis material kain yang digunakan serta kemasan potongan dan jahitan yang selesa dipakai.

Katanya, baju kurung dipakainya itu sebahagian contoh hasil tangan pelajar yang berjaya digilap dan akan mengembangkan potensi seumpama itu di institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

"Bagi ramai yang tertanya-tanya dari mana saya beli baju-baju saya, saya kenalkan busana yang saya pakai ini adalah hasil rekaan Nadhratul Iman dan dijahit Nurul Najwa.

"Kedua-dua mereka sedang mengikuti pengajian Diploma Seni Reka Fesyen di Kolej Vokasional Sungai Petani.

"Saya yakin dengan keupayaan sebegini pada usia yang sangat muda, mereka boleh menyinar lebih cemerlang dalam industri fesyen Muslimah sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa," katanya dalam perkongsian di Facebook.

Beliau berkata, KPM akan memberikan ruang dan peluang seluasnya untuk pelajar mengembangkan bakat masing-masing.

"Saya sangat menggalakkan mereka meningkatkan daya cipta yang memberi manfaat kepada kemanusiaan sejagat.

"Saya sentiasa berbangga dengan setiap kejayaan yang dicapai pelajar biarpun kecil kerana dari pencapaian inilah mereka akan membina semangat, kemahiran, ilmu dan pengalaman untuk menggapai kegemilangan dalam hidup mereka pada masa hadapan.

"Saya berharap ibu, bapa, masyarakat dan seluruh ekosistem pendidikan dapat sama-sama berperanan supaya kita mampu untuk memastikan anak-anak kita mengembangkan potensi dan bakat mereka, seterusnya menjadi seorang insan yang berjaya dan bermanfaat dalam apa jua bidang yang mereka ceburi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 11:17 AM