DR Mohd Ekhwan mengumumkan keputusan STPM pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) tahun 2022. FOTO Aswadi Alias
DR Mohd Ekhwan mengumumkan keputusan STPM pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) tahun 2022. FOTO Aswadi Alias
Mahaizura Abd Malik


Selayang: Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) kini dalam fasa akhir menyemak semula sukatan mata pelajaran peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pengerusi MPM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, perubahan sukatan mata pelajaran STPM yang disemak semula ini dijangka diguna pakai dalam peperiksaan semester satu STPM tahun 2026.

"Bagi memastikan STPM sentiasa relevan dengan perkembangan semasa bagi memenuhi keperluan negara dan diktiraf di peringkat antarabangsa, MPM kini dalam peringkat akhir permurnian sukatan pelajaran peperiksaan STPM sedia ada.

"Fokus penyemakan merangkumi kerelevanan sukatan pelajaran

peperiksaan dari aspek matlamat, objektif (ilmu, kemahiran dan nilai) serta tajuk yang perlu diajar atau belajar.

"Selain itu, ia membabitkan waktu pengajaran bagi setiap tajuk, hasil pembelajaran yang sepatutnya dicapai oleh calon, skim pentaksiran (format soalan dan wajaran) pada setiap semester," katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2022 di MPM di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi serta Ketua Eksekutif MPM, Adnan Husin.

Sementara itu, Adnan berkata, satu jawatankuasa dilantik daripada pakar dari KPM, pihak industri dan sekolah bagi menyemak sukatan berkenaan.

"Kita akan menyemak mata pelajaran bagi murnikan dan sesuaikan dengan keadaan semasa.

"Antara perubahan baharu itu ialah ada subjek kemungkinan dikecualikan kerja kursus dan ada yang dikekalkan.

"Kita juga akan membuat penataan berhubung sukatan baharu mata pelajaran itu kepada semua guru Tingkatan Enam di seluruh negara," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, KPM sedang menyemak semula sukatan mata pelajaran

Tingkatan Enam yang dijangka selesai pada 2025 supaya seiring dengan perkembangan semasa bagi memenuhi keperluan negara.

Menurut kementerian itu, sukatan itu juga perlu disemak supaya selaras dengan A-Level yang dikelolakan Cambridge Assessment International Education (CAIE), United Kingdom kerana sijil STPM diiktiraf setaraf dari segi standard dengan A-Level kelolaan CAIE itu sejak 1982.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 2:08 PM