Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kabinet bersetuju proses penghantaran pulang pengembara yang ditolak masuk ke negara ini (NTL) diuruskan syarikat penerbangan tanpa pembabitan pihak ketiga.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu selaras dengan Chapter 5, Artikel 5.9 Konvensyen Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Chapter 5, Artikel 5.9.

"Ia menetapkan syarikat penerbangan adalah bertanggungjawab uruskan penghantaran pulang, kalau perlu diberi makan, minum dan tiket penerbangan balik, perkara itu jadi tanggungjawab syarikat penerbangan.

"Akta Imigresen 1959 dan 1963 juga disebut bahawa syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk urusan penghantaran pulang.

"Jadi Kabinet hari ini setuju proses penghantaran pulang ini diuruskan syarikat penerbangan tanpa melalui pihak ketiga," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu akan membolehkan penjagaan terhadap pengembara yang diberi NTL ditambah baik.

"Mereka (syarikat penerbangan) pihak yang perlu mengambil tanggungjawab sebab bila seorang pengembara itu hendak berlepas daripada lokasi terakhir, syarikat penerbangan itu bertanggungjawab sebelum keluarkan pas berlepas, dia kena tahu status pengembara tiada ke tiket pulang.

"Tapi kalau mereka datang sini tiba-tiba tidak dapat melepasi Imigresen sebab isu tiket pulang, sebab itu (undang-undang antarabangsa) syarikat penerbangan itu bertanggungjawab untuk kembalikan semula pengembara itu ke lokasi dia datang," katanya.

Saifuddin berkata, kebiasaannya pengembara diberi NTL ditahan antara satu hingga tujuh hari, bergantung kepada berapa cepat proses penghantaran pulang mereka dibuat.

Ditanya bila arahan kepada syarikat penerbangan itu akan berkuat kuasa, beliau berkata, perkara selanjutnya akan dibincang lebih lanjut antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan.

"Perkara mengenai syarikat dilantik (Mono Circle) akan turut dibincang kemudian," katanya

Sementara itu Saifuddin Nasution mengesahkan dua wanita warga China yang terkait dalam insiden kekecohan di Lapangan Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini sudah pulang ke negara asal pada 4 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 4:12 PM