TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. FOTO Facebook HRH Crown Prince of Johor
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim. FOTO Facebook HRH Crown Prince of Johor
BERNAMA

Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Singapura hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari.

Istana Bukit Pelangi dalam kenyataan memaklumkan lawatan berkenaan atas undangan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Menurut kenyataan itu Tunku Ismail diiringi isteri, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam selain pegawai istana dan pemimpin negeri.

Pada lawatan itu, Tunku Ismail dan Che' Puan Besar Khaleeda akan berangkat ke majlis jamuan teh yang dihoskan oleh Perdana Menteri Singapura Datuk Lee Hsien Loong dan Datin Paduka Ho Ching.

Balakrishnan dan isterinya pula akan menjadi hos bagi santapan makan malam sebagai memberi penghormatan kepada pasangan diraja, menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan, Tunku Ismail juga berkenan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Kewangan Lawrence Wong.

Baginda juga akan melawat Kem Komando Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan diiringi Menteri Kanan (Pertahanan) Singapura Zaqy Mohamad dan Sekolah Menengah Kuo Chuan Presbyterian diiringi Menteri Pendidikan Singapura Gan Siow Huang.

Selain itu, Tunku Mahkota Johor akan turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bola Sepak Johor dengan Persatuan Bola Sepak Singapura diiringi Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura Edwin Tong.

Istana Bukit Pelangi memaklumkan MoU berkenaan akan melibatkan kerjasama dalam pembangunan bola sepak kedua-dua pihak termasuk penganjuran perlawanan bola sepak tahunan mulai 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 4:12 PM