Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengesahkan belum dipanggil polis untuk siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).

Katanya, beliau bagaimanapun sedia bekerjasama sekiranya diminta berbuat demikian memandangkan kenyataannya itu diputar belit oleh sebuah portal berita yang melakukan terjemahan yang tidak tepat.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, akhbar berbahasa Mandarin yang menjadi rujukan portal berita terbabit sudah mengeluarkan kenyataan berasingan semalam.

"Menurut mereka (akhbar berbahasa Mandarin) portal berita itu membuat terjemahan yang salah dan silap.

"Bila anda salah terjemah kenapa nak salahkan saya pula. Jelas sekali, kita faham kalau anda tak faham bahasa Mandarin.

"Tapi janganlah dengan sengaja faham tetapi sengaja buat terjemahan silap supaya boleh buat ini sebagai senjata politik untuk jejaskan imej orang," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Jaya, di sini, hari ini.

LIM Guan Eng menunjukkan mesej bertajuk ‘kerahan laporan isu perkauman LGE’ oleh parti politik untuk  membuat laporan polis terhadap dirinya. FOTO Danial Saad
LIM Guan Eng menunjukkan mesej bertajuk ‘kerahan laporan isu perkauman LGE’ oleh parti politik untuk membuat laporan polis terhadap dirinya. FOTO Danial Saad

Guan Eng berkata, apa yang disuarakannya adalah sebuah kuil Hindu lama berusia lebih 70 tahun yang dirobohkan kerajaan negeri Kedah pada tahun 2020 dan bukan seperti yang didakwa.

"Mereka cuba manipulasi kata saya yang tidak sebut kuil Hindu tetapi sebut tokong Buddha Cina.

"Selepas itu, mereka terus mainkan isu ini tak cukup dengan itu mereka nak buat laporan polis berdasarkan apa yang saya tak cakap berdasarkan satu fitnah," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita berkenaan, Guan Eng berkata, beliau tidak bercadang berbuat demikian pada ketika ini.

Semalam, Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G S Suresh Kumar dilaporkan bahawa menerima laporan polis yang dibuat terhadap Guan Eng.

Beliau dilaporkan berkata, laporan polis yang diterima itu berkaitan kenyataan Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa 'gelombang hijau' bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat 'gelombang hijau' daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 2:51 PM