KUALA LUMPUR 08 JULAI 2023. Harga semasa ikan yang dijual di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. STR/AZHAR RAMLI
KUALA LUMPUR 08 JULAI 2023. Harga semasa ikan yang dijual di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan. STR/AZHAR RAMLI
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Tidak benar kami (peniaga atau penjual) jual ikan mahal seperti pergi 'haji balik hari', harga ikan tidak statik setiap hari."

Demikian luahan pemborong ikan, Nurul Ain Alias, 39, berhubung dakwaan kenaikan harga ikan khususnya daripada jenis ikan kembung yang dijual pada harga mahal sekitar RM20 sekilogram (kg).

Nurul Ain yang juga pemborong ikan di Pasar Borong Seri Kembangan berkata, harga ikan bersifat 'flip flop' mengikut banyak aspek seperti keadaan cuaca, perolehan nelayan dan sebagainya.

"Harga ikan kembung khususnya tidak statik pada RM20, selalunya harga mahal ini pada tengah bulan saja dan harga biasa pada kadar RM14 hingga RM16 sekilogram mengikut gred ikan itu.

"Memang saya akui ada hari harga ikan ini mahal tetapi tidak lama, tidak berlarutan selama satu minggu pun, hanya beberapa hari, selepas itu harga akan kembali rendah seperti biasa.

"Banyak faktor yang mempengaruhi naik turun harga ikan ini, tetapi kami sebagai peniaga tak (tidak) ambil berlipat kali ganda seperti dakwaan," katanya ketika ditemui.

Dia berkata, peniaga sepertinya tidak mengambil keuntungan terlalu tinggi sebaliknya hanya cukup menampung kos logistik serta operasi harian saja.

Menurutnya, jika peniaga menjual terlalu mahal, orang awam tidak akan membeli dan ia akan menambahkan kerugian kepada perniagaan.

Pada masa sama, pembeli ikan, Che Mad Azhar, 46, berkata, memang ada kenaikan harga ikan tetapi tidak terlalu tinggi.

"Bagi saya, kalau harga ikan mahal, saya akan beli barang basah yang lain kerana harga ikan ini akan turun balik dalam dua tiga hari kemudian.

"Kita kena jadi pembeli serta pengguna yang bijak untuk memilih serta membeli, jangan beli ketika harga tengah tinggi sebaliknya tunggu sehingga harga kembali relevan dengan pasaran semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 2:40 PM