PENIAGA Pasar Chow Kit, Nur Aini Basirrudin menjual ketupat siap dengan harga antara RM10 dan RM15 seikat.
PENIAGA Pasar Chow Kit, Nur Aini Basirrudin menjual ketupat siap dengan harga antara RM10 dan RM15 seikat.
HM Digital

Kuala Lumpur: Bekalan kurang menjadi alasan bagi sesetengah peniaga menaikkan harga bahan mentah seperti ikan, udang, ketam dan sotong sempena Aidiladha yang disambut hari ini.

Malah, ada peniaga dengan beraninya tidak meletakkan tanda harga untuk jualan daging dan ayam membuatkan pengguna tiada pilihan selain melakukan tawar-menawar.

Tindakan peniaga yang berbuat demikian terus membebankan pengguna, ditambah terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar basah di ibu kota mendapati hasil laut dijual pada harga RM10 hingga RM32 sekilogram manakala ayam dijual dengan harga RM9 sekilogram dan daging dijual sehingga RM34 sekilogram.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Masyitah, 47, berkata, harga ikan yang melambung tinggi membuatkan dia tiada pilihan dan terpaksa membeli ikan yang lebih murah tetapi tidak segar.

“Apa boleh buat. Ikan kembung saja dijual dengan harga RM18 sekilogram sedangkan minggu lalu saya beli dengan harga RM14 sekilogram. Itu belum dicampur jika mahu membeli udang atau sotong.

“Memandangkan harga mahal, saya membeli di pasar raya tetapi kualiti ikan tidak bagus kerana ada yang sudah lama,” katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 9:15 AM