FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kemahiran dan ilmu kaunseling perlu diberi penekanan lebih meluas dalam kalangan guru di sekolah sebagai langkah mengenal pasti pelajar bermasalah terutama mereka yang menjadi mangsa buli.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, sudah tiba masanya pihak sekolah menambah bilangan guru kaunseling kerana langkah mencegah lebih baik daripada merawat.

Katanya, kemahiran kaunseling dan bimbingan perlu ditingkatkan di semua peringkat di sekolah serta menambah nisbah guru kaunseling supaya lebih efektif membanteras isu buli.

"PIBGN kesal dengan perkara (buli) yang berlaku dan sudah pasti perkara buli membuli ini akan berlaku lagi kerana zaman kanak-kanak sekarang berbeza.

"Pembulian boleh mencetuskan sifat balas dendam kepada mangsa buli dan saya berharap isu ini dapat dibendung dan dicegah bukan saja oleh pihak sekolah, malah guru, ibu bapa dan masyarakat sekeliling.

"PIBGN berpendapat setiap guru di sekolah ketika ini perlu diberi latihan kemahiran mengenal pasti (kesan lebih awal) pelajar yang dibuli supaya mangsa buli ini tidak membuli orang lain sama ada di sekolah, rumah atau tempat lain untuk melepaskan geram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai mencekik adiknya sehingga mati di Bukit Piatu, Melaka, semalam.

Difahamkan, remaja berkenaan dikatakan berubah sikap selepas didakwa menjadi mangsa buli di sekolahnya.

Mohamad Ali berkata, pihak sekolah juga perlu bersikap positif dan proaktif supaya pembuli dan mangsa diberi bimbingan kaunseling bagi mengelakkan gejala ini berleluasa serta memulihkan jati diri pelajar.

Menurutnya, pengurusan sekolah harus mengendalikan atau memperbanyakkan program persahabatan antara rakan di sekolah supaya tiada istilah 'senior' dan 'junior'.

Katanya, pada masa juga pihak sekolah boleh membuat papan tanda yang menekankan membuli adalah satu jenayah.

"Selain di sekolah, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk membimbing anak-anak mereka serta lebihkan masa berinteraksi terutama pada waktu makan bersama atau ketika solat berjemaah.

"Ibu bapa perlu mengambil tindakan proaktif supaya anak mereka tidak menonton gajet berunsur negatif atau tidak sihat.

"Manakala bagi PIBG atau ketua kampung perlu mengadakan program yang melibatkan anak remaja sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 3:55 PM