VAN  dipandu melawan arus di Jalan Besar Ampang sehingga merempuh empat kenderaan semalam. GAMBAR tular
VAN dipandu melawan arus di Jalan Besar Ampang sehingga merempuh empat kenderaan semalam. GAMBAR tular
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Berlaku kekecohan sehingga tular di media sosial apabila orang ramai mengejar sebuah van yang memandu melawan arus di Jalan Besar Ampang, di sini, sehingga merempuh empat kenderaan semalam.

Dalam kejadian 12.14 tengah hari itu, pemandu van terbabit memandu melawan arus dan melanggar kereta Honda Jazz yang berhenti di bahu kiri jalan.

Van terbabit kemudian melanggar kereta Mitsubishi Attrage, Perodua Bezza dan Proton Wira yang sedang bergerak.

Video yang tular turut memaparkan pemandu terbabit cuba mengundur vannya dan dikejar orang awam sebelum dia berjaya melarikan diri.

Empat pemilik kenderaan terbabit sudah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Katanya, beliau akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 6:29 PM