Zuliaty Zulkiffli


DUA remaja lelaki berusia 16 tahun yang menaiki lori lima tan ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Alor Setar.

Ketika ditahan pada 9.30 malam, salah seorang daripadanya memandu kenderaan berat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dua remaja itu antara lapan individu yang ditahan kerana ingkar PKP.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, kedua-duanya sudah berhenti sekolah dan sanggup menempuh perjalanan kira-kira 30 kilometer dari Kepala Batas di Jitra untuk ke Alor Setar.

“Mereka memberi alasan kononnya baru pulang menghantar stok bekalan makanan ke sebuah masjid.

“Remaja lelaki yang memandu lori itu juga tidak memiliki lesen kenderaan berat selain pernah ditahan kerana ingkar PKP pada 19 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, pada operasi semalam, kesemua individu ditahan berusia antara 16 hingga 21 tahun.

Katanya, mereka ditahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

POLIS memeriksa remaja berkenaan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
POLIS memeriksa remaja berkenaan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 9:25 AM