RAKAMAN gambar yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN gambar yang tular di media sosial. FOTO tular
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen (JIM) Sabah mengambil pelbagai tindakan sewajarnya sebelum insiden tular kebajikan seorang pegawainya yang terabai selepas mendapat kecederaan ketika bertugas.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pihaknya sentiasa menjadikan kebajikan pegawai sebagai salah satu keutamaan apabila menerima laporan pegawai yang jatuh sakit dan menjalani rawatan perubatan.

"Berhubung isu tular itu, jabatan sudah bertindak sewajarnya dengan meluluskan permohonan rayuan daripada pegawai yang memohon untuk bertukar tempat bertugas bagi memudahkan dijaga oleh ahli keluarganya.

"Atas keprihatinan jabatan, beberapa sesi lawatan ke rumah kediaman pegawai juga dilakukan pada 13 Jun dan 23 September tahun lalu serta sumbangan turut diserahkan kepada pegawai pada masa itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pegawai itu diberikan penghargaan atas perkhidmatan di JIM Sabah dan dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan sijil itu turut diserahkan kepada pegawai dalam sesi lawatan berkenaan.

"Jabatan turut mengambil maklum akan kesihatan pegawai dan membantu menguruskan permohonan kemudahan rawatan perubatan bagi tujuan membiayai pembelian alat perubatannya.

"Pegawai terbabit dimasukkan ke hospital pada 22 Jun lalu untuk tujuan pembedahan dan dibenarkan pulang daripada hospital pada 25 Jun (semalam) dan diberikan cuti sakit sehingga 17 Julai depan," katanya.

Beliau berkata, dalam isu ini, jabatan mengambil tindakan yang sewajarnya dan tetap akan memberi khidmat sokongan moral kepada pegawai.

"Oleh itu, dinasihatkan supaya orang awam tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan khususnya kepada jabatan dan masyarakat secara amnya," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial seorang pegawai Imigresen yang bertugas di JIM Sabah mendakwa bahawa kebajikannya terabai selepas mendapat kecederaan ketika bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 6:38 PM