ISMAIL menyampaikan syarahan umum di Universiti Pertahanan Republik Indonesia.
ISMAIL menyampaikan syarahan umum di Universiti Pertahanan Republik Indonesia.
Redzuan Muharam


Jakarta: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan kuasa veto oleh Majlis Keselamatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai masalah paling besar.

Ismail Sabri berkata, kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

Beliau berkata, ia tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia serta menyebabkan konflik tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap majlis berkenaan.

"Sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

"Perdagangan antara negara hampir bebas dilaksanakan. Aktiviti ekonomi antara negara kapitalis dan sosialis berjalan seolah-olah bebas tanpa sekatan.

"Jadi mengapa tidak, PBB dan seluruh anggotanya berusaha menjadikan dunia sebagai satu keluarga besar yang sempurna. Menjadi keluarga dunia sejati, menjadi keluarga dunia yang aman damai," katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Pertahanan Republik Indonesia di Jawa Barat, Indonesia, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, konflik antara Ukraine-Rusia kini sudah melebihi setahun dan tidak nampak tanda berakhir.

"Ukraine mendapat dokongan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan negara barat, manakala Rusia mendapat sokongan China.

"Banyak harta yang musnah, terutama Ukraine dan banyak nyawa yang terkorban di kedua-dua pihak," katanya.

Ismail Sabri turut mencadangkan supaya dilahirkan keluarga Asean ketika Sidang Kemuncak Asean secara maya pada 26 Oktober 2021.

Menurutnya, negara Asean boleh menjalinkan perhubungan yang begitu rapat sekali sehingga tidak timbul langsung perasaan curiga serta syak wasangka, maka banyak hal kebaikan yang boleh diraih.

"Kemesraan itu boleh mengubah perbelanjaan negara yang tidak produktif kepada perkara sebaliknya.

"Sebagai contoh, hampir seluruh negara Asean membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar kepada bajet pertahanan.

"Sedangkan kita tahu, bahawa perbelanjaan untuk senjata bukanlah produktif. Jadi untuk apa perbelanjaan berbilion dolar ini?

"Sekiranya negara Asean dapat melahirkan kepercayaan sejati antara negara anggota, maka bajet tersebut tidak diperlukan. Mungkin ia boleh digunakan untuk pelajaran percuma kepada para pelajar atau kesihatan percuma untuk rakyat," katanya.

Tambah Ismail Sabri, daripada aspek ekonomi, negara Asean adalah saling lengkap melengkapi umpama sebuah negara bukannya bersaing sesama sendiri.

"Umpamanya, rantau ini adalah pengeluar utama getah dan kelapa sawit utama dunia tetapi harga komoditi ini ditetapkan oleh orang lain, malah kita berhadapan dengan pelbagai sekatan dari negaraluar rantau.

"Walaupun kita ditekan oleh kuasa besar dan tidak mempunyai kuasa ketenteraan tetapi jika kita bersatu sebagai sebuah keluarga besar Asean, orang luar akan menghormati kita.

"Ibarat sebatang lidi mudah dipatahkan, jika diikat segenggam sukar untuk dipatahkan," katanya.

Beliau berkata, keamanan sejagat adalah tanggungjawab global jadi setiap negara wajar melaksanakan pelbagai cara untuk mengekalkan keamanan negara dan antarabangsa.

"Dalam bahasa yang mudah bahawa keamanan sejagat yang dimaksudkan adalah keamanan diperolehi secara alamiah, di mana bukan terhasil daripada perang.

"Saya menolak konsep keamanan sedunia yang menggunakan kekuatan senjata atau memenangi peperangan untuk membentuk keamanan.

"Perang tidak dapat diselesaikan dengan perang untuk mencapai perdamaian.

"Justeru, saya mengajak para hadirin berdoa sambil berusaha, agar seluruh kepimpinan dunia melalui PBB, berikhtiar mencari jalan supaya segala bentuk konflik atau peperangan dapat diatasi.

"Jangan kerana kapitalis senjata dan minyak ini memusnahkan penghidupan umat manusia di dunia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 5:32 PM