Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor Mohd Yahya Mat Sahri ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri dan jentera parti bagi membincangkan perkembangan terkini pilihan raya negeri di Kompleks Sri Perdana hari ini.  FOTO BERNAMA
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor Mohd Yahya Mat Sahri ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri dan jentera parti bagi membincangkan perkembangan terkini pilihan raya negeri di Kompleks Sri Perdana hari ini. FOTO BERNAMA
Suraya Ali


Putrajaya: Pakatan Harapan (PH) Selangor mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 51 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Ogos depan.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor Mohd Yahya Mat Sahri berkata daripada keseluruhan kerusi itu, 43 adalah kerusi yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum (PRU-14).

"Rundingan masih dijalankan untuk baki beberapa kerusi lagi termasuk Gombak Setia dan Kota Damansara," katanya kepada media ketika ditemui selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Seri Perdana, di sini hari ini.

Mohd Yahya berkata keputusan akhir senarai kerusi dan calon akan diumumkan dalam masa terdekat memandangkan urusan itu sudah selesai di peringkat jawatankuasa perundingan parti dan kini berada di pejabat presiden parti komponen.

Katanya, menerusi kerjasama PH dengan Barisan Nasional (BN), PH Selangor yakin gabungan parti itu mampu menambah jumlah kerusi yang akan dimenangi.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang banyak membantu rakyat negeri Selangor.

"Sejak 2008, kami menjalankan inisiatif 20 meter padu percuma, Skim Air Darul Ehsan yang diberikan kepada penduduk Selangor.

"Skim Perlindungan Takaful percuma untuk rakyat negeri Selangor dan bantuan kehidupan sejahtera Selangor atau Bingkas kepada Ibu Tunggal," katanya.

Menurutnya, kerjasama baik antara PH dan BN mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap inisiatif yang dijalankan kerajaan negeri.

Ditanya mengenai kerjasama dengan BN, beliau berkata kedua-dua pihak semakin serasi bekerjasama dan mengambil contoh pimpinan parti di peringkat nasional.

Dalam mesyuarat hampir dua jam yang dipengerusikan oleh Presiden PKR Datuk seri Anwar Ibrahim, Mohd Yahya berkata pucuk pimpinan parti memberikan amanat untuk semua Adun, Ahli Parlimen dan Senator PKR untuk menggerakkan jentera parti bagi menghadapi PRN akan datang.

Sementara itu, DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan Jumaat lalu, dan dengan pembubaran itu, pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 5:12 PM