Nazdy Harun


Marang: Warga emas mengerah kudrat lebih tiga tahun menghiasi perkarangan rumahnya yang turut dijadikan kedai makan dengan menggunakan pelbagai barangan terbuang.

Deraman Mamat, 65, Kampung Batu Kelikir, Wakaf Tapai dekat sini berkata, dia mengambil keputusan untuk menghiasi pekarangan rumahnya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurutnya, untuk menambah tarikan dia menggunakan barangan terbuang antaranya tayar, gelung paip air, botol, kipas, mentol lampu, jam dan tidak ketinggalan dia turut membeli barangan dari kedai untuk dijadikan hiasan.

"Tidak memerlukan modal yang tinggi kerana barangan yang digunakan diperoleh secara percuma kerana barangan terbuang selain sesetengahnya hanya dibeli di kedai murah.

"Namun, kudrat yang membataskan untuk saya menyiapkan dekorasi di sekeliling rumah ini dalam waktu singkat.

"Mungkin kalau dilakukan oleh tenaga muda mereka hanya mengambil masa sebulan contohnya namun memandangkan kudrat saya yang berusia pastinya mengambil masa lebih lama," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, usahanya menyiapkan landskap di tanah berkeluasan 0.2 hektar itu itu berjaya direalisasikan apabila kerja-kerja memperindahkan perkarangan rumah selesai sebulan lalu selepas lebih tiga tahun mengerah keringat.

Katanya, halaman rumahnya yang turut dijadikan kedai makan untuk sarapan pagi kini menjadi tumpuan pelanggan atau orang ramai untuk 'Outfit Of The Day' (OOTD).

Deraman berkata, dia tidak menghalang orang ramai untuk bergambar di taman berkenaan walaupun ada yang datang semata-mata datang untuk tujuan itu.

"Akhirnya impian saya untuk melihat seluruh kawasan rumah dihiasi dengan pelbagai landskap sudah tercapai walaupun terpaksa bermandi peluh berseorangan menyiapkannya.

"Sebelum ini, hanya bahagian hadapan rumah saja yang dihiasi dengan dekorasi namun PKP, membuka inspirasi buat saya untuk berkarya melalui medium landskap," katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Deraman berkata, dia mula membuka kedai makan di rumahnya itu sejak 1998 namun akibat PKP dia menutup sementara perniagaan hingga lah dibuka semula bulan lalu.

Katanya, isterinya, Net Kamariah Saabi, 60, bersama tiga anaknya membantu menguruskan kedai makan dari 7 pagi hingga 12 tengah hari, manakala waktu petang dia meluangkan masa untuk kerja-kerja penyelenggaraan taman.

Deraman berkata, sebaik taman itu dibuka pengunjung boleh dikatakan meningkat 200 peratus dan dia tidak mengenakan sebarang bayaran kepada orang ramai yang datang walaupun hanya untuk OOTD sahaja.

"Saya buat hiasan ini untuk kepuasan diri selain ingin mencurahkan ilham serta membuat perubahan pada perkarangan rumah.

"Alhamdulillah, walaupun kudrat tidak sekuat mana namun impian saya sudah terlaksana dengan mengambil masa lebih tiga tahun menyiapkan taman berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 1:19 PM
Deraman ketika ditemui di perkarangan rumahnya yang sering menarik minat individu untuk bergambar. FOTO NAZDY HARUN
Deraman ketika ditemui di perkarangan rumahnya yang sering menarik minat individu untuk bergambar. FOTO NAZDY HARUN