GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Bekas guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamed Nor Azmi Darno, 54, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kesemua kertas pertuduhan, Mohamed Nor Azmi yang ketika itu bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh didakwa melakukan pecah amanah jenayah ap[abila dengan curangnya menyalahgunakan wang sumbangan zakat dari sebuah syarikat korporat untuk murid asnaf sekolah itu bagi program Pemberian Sumbangan Hari Raya 2019.

Dia dakwa menyalahgunakan wang sumbangan masing-masing berjumlah RM5,000, RM40,000 dan RM30,000 untuk kegunaan dirinya sendiri dan tidak mengagihkannya kepada murid asnaf sekolah berkenaan.

Justeru, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Mohamed Nor Azmi yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) didakwa melakukan perkara itu di cawangan sebuah bank di Saujana Utama, Sungai Buloh pada 17 dan 19 Jun 2019.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli menawarkan wang jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport, melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi kes.

Tertuduh yang diwakili peguam, Nur Asikin Mohamed Yusoff memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai enam anak dan dua daripadanya masih belajar.

Tertuduh juga mempunyai penyakit darah tinggi yang memerlukan rawatan susulan dari semasa ke semasa.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin RM30,000 berserta syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 11:50 AM