GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Seorang pesara di Miri kerugian RM1.2 juta selepas terpedaya dengan penyamaran melalui panggilan telefon.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 66 tahun berhubung kes itu semalam.

"Mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali mengaku dari Kementerian Kesihatan pada 18 April lalu sebelum disambungkan kepada suspek yang mengaku sebagai Sarjan Wong dan Inspektor Khoo dari Kota Kinabalu, Sabah.

"Suspek kemudian mengatakan mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram, namun mangsa menafikannya. Selepas itu, suspek meminta mangsa memberikan maklumat perbankan dan butiran kewangan miliknya sebelum diarahkan suspek membuka dua akaun bank baharu bagi memudahkan siasatan dijalankan ke atas mangsa," katanya dalam kenyataannya malam ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuka akaun bank baru pada 19 dan 20 April sebelum memberikan maklumat akaun baru serta pengenalan diri (ID) bersama kata laluan perbankan atas talian kepada suspek selepas itu.

"Mangsa diarahkan memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM1.2 juta melalui empat transaksi dari akaun Ambank dan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja miliknya ke akaun baharu dibuka itu.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memeriksa baki wang di dalam kedua-dua akaun bank baru miliknya kelmarin sudah tiada dan mendapati ia dipindahkan ke akaun tidak dikenali secara berperingkat antara 19 April hingga 3 Mei lalu," katanya.

Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 12:01 AM