Nazdy Harun


Kuala Nerus: "Jika cabaran individu normal satu atau dua kali ganda untuk menggapai kejayaan namun bagi saya khasnya yang bergelar orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan memerlukan usaha lebih daripada itu," kata Nurul Najwa Khairunnisah Hassim dari Kampung Kepong, dekat sini.

Nurul Najwa, 29, yang menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2020 berkata, dia mengalami kecacatan itu sejak dilahirkan.

Menurutnya, dia berhadapan cabaran ketika di universiti kerana kemudahan untuk golongan OKU penglihatan ketika itu tidak begitu meluas.

"Bagaimanapun, saya diberi pilihan untuk bertukar ke universiti lain yang lebih mesra OKU penglihatan namun saya menolaknya kerana saya berpegang pada prinsip 'saya lakukan hari ini untuk kesenangan rakan senasib pada masa depan'," katanya.

Nurul Najwa sedang mengendalikan komputer riba manakala Nurul Syahida menggunakan telefon bimbit ketika mendengar taklimat di sampaikan Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu, Fauzi Mansor, (tengah). FOTO NAZDY HARUN
Nurul Najwa sedang mengendalikan komputer riba manakala Nurul Syahida menggunakan telefon bimbit ketika mendengar taklimat di sampaikan Pengerusi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu, Fauzi Mansor, (tengah). FOTO NAZDY HARUN

Menceritakan mengenai cabaran berganda yang perlu dilalui, Nurul Najwa berkata, bukan mudah OKU buta sepertinya melalui zaman bergelar graduan.

"Contohnya, tugasan yang diberikan pensyarah perlu saya siapkan sama seperti individu normal dan bagi menyiapkan tugasan saya perlu menggunakan pelbagai kaedah.

"Ia termasuklah mengepos buku rujukan kepada ibu saya (Bahani Mohd, 62) di kampung, sebelum ibu membaca buku berkenaan kemudian mengirimkan audio melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Nurul Syahida Zainun Abidin, 25, yang berkelulusan Sarjana Muda Bahasa Melayu Profesional dari Universiti Malaya (UM) berkata, walaupun suasana di UM agak berbeza kerana persekitaran mesra OKU buta namun cabaran tetap ada.

"Bagaimanapun, umum mengetahui UM merupakan sebuah universiti yang mengambil pelajar OKU buta berikutan mempunyai prasarana lengkap membabitkan golongan itu.

"Namun, usaha berganda perlu dilakukan kerana OKU buta tidak seperti insan normal yang boleh melakukan sebarang tugasan dengan bebas dan pantas berbanding kami," katanya yang mendapat tajaan pembelajaran daripada Yayasan Sime Darby.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 11:28 AM