GEG ialah dasar baharu dicadangkan Kementerian Kesihatan bagi mewujudkan generasi baru yang bebas tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik terutama generasi muda yang lahir selepas 2007.
GEG ialah dasar baharu dicadangkan Kementerian Kesihatan bagi mewujudkan generasi baru yang bebas tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik terutama generasi muda yang lahir selepas 2007.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Isu berkaitan rokok dan vape terus menjadi bualan masyarakat selepas kerajaan bercadang memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Generasi Penamat Rokok (GEG) bagi menyekat mereka yang lahir selepas 2007 daripada menggunakan produk itu untuk selama-lamanya walaupun sudah dewasa pada masa depan.

Memang diakui tabiat merokok atau menggunakan vape adalah tidak baik untuk kesihatan di semua peringkat umur namun ia agak keterlaluan menguatkuasakan undang-undang 'keras' yang akan melarang seorang dewasa memilih untuk merokok atau menggunakan vape.

Untuk makluman rokok dan vape bukannya dadah untuk dikenakan larangan sebegini, undang-undang sedia ada berupaya mengekang tabiat ini.

Pakar-pakar ekonomi juga membuat kesimpulan bahawa larangan sepenuhnya ke atas rokok dan vape hanya akan mengakibatkan sebuah letusan dalam aktiviti produk haram dan peningkatan aktiviti jenayah kerana akan ada golongan yang mencari produk ini dari sumber haram untuk merokok atau menggunakan vape.

Dalam satu laporan kajian yang dikeluarkan kumpulan pemikir Arunachala Research & Consultancy Sdn Bhd (ARRESCON) mendedahkan perundangan yang dicadangkan kerajaan itu untuk dibawa ke Parlimen mempunyai kelemahan, terutamanya berkaitan mengehadkan asas hak rakyat dan kesan terhadap perniagaan.

Berdasarkan dapatan tinjauan kajian berkenaan, lebih separuh daripada responden tidak yakin dengan RUU berkenaan dan bersetuju lebih banyak kajian perlu dilakukan.

Sehubungan itu, semakan terperinci dan menyeluruh perlu dijalankan dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan pengguna yang bebas.

Kajian juga mencadangkan, Ahli Parlimen, persatuan pengguna, badan pemikir bebas, badan perniagaan dan orang awam perlu mempertimbangkan pandangan dengan teliti.

Kerajaan perlu membentuk panel pakar terdiri daripada semua pihak berkepentingan untuk menilai daya maju rakyat Malaysia pada masa hadapan dan bukan tergesa-gesa melalui perundangan.

Hasil kajian dengan 22 muka surat itu dijalankan di beberapa bandar seperti Titiwangsa, Kuala Lumpur; Pulai, Johor; Jerai, Kedah; Kemaman, Terengganu dan Pasir Puteh, Kelantan.

Seramai 2,021 responden terbabit dalam kajian berkenaan yang terdiri daripada generasi muda yang akan berhadapan dengan GEG pada masa hadapan.

Sebelum ini, platform Malaysia Bersuara mengemukakan petisyen 'rakyat Malaysia menolak GEG' yang mendapat tandatangan lebih dari sejuta sokongan.

GEG mungkin mempunyai niat yang baik namun belia di negara kini tidak menyukainya kerana bercanggah hak kesamarataan dan kebebasan mereka.

Desakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap dasar GEG ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) ini boleh menjadi topik hangat.

GEG ialah dasar baharu yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mewujudkan generasi baru yang bebas tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik terutama generasi muda yang lahir selepas 2007.

Ketika ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dijangka membentangkan semula dalam sidang parlimen pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 7:00 AM