GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang anggota polis trafik berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta suapan, tiga tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Arun Shah Syazwan, 31 yang bertugas pejabat bahagian trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (IPD Gombak) membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya daripada dua lelaki masing-masing berusia 28 dan 45 tahun, apa-apa suapan iaitu wang tunai berjumlah RM800.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedua-dua lelaki berkenaan yang melakukan kesalahan menggunakan kenderaan yang tidak memiliki permit untuk tujuan perdagangan barang di pejabat bahagian trafik, IPD Gombak dekat sini pada 1 Disember 2020.

Bagi kedua-dua perbuatan itu Mohd Arun Shah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam Effa Ruzanna Anuar.

Mahkamah juga menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 12:34 PM